Putrajaya: Dari Ladang Estet Getah ke Pusat Pentadbiran Negara

Kongsi Artikel Ini

Kemerdekaan Malaysia yang ke-67 disambut meriah di Putrajaya pada 31 Ogos 2024, dan setiap tahun, lokasi ini menjadi tumpuan rakyat untuk menyaksikan perarakan kemerdekaan.

Putrajaya, kini pusat pentadbiran negara yang cantik dan moden, memainkan peranan penting dalam acara bersejarah ini. Namun, ramai yang tidak menyedari bahawa Putrajaya dahulunya hanyalah sebuah ladang estet getah sebelum menjadi sebuah bandar pentadbiran yang maju.

putrajaya
Kredit Gambar : Bernama

Memetik laporan berita harian, Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, melahirkan rasa kagum dan bangga dengan pembangunan kawasan itu yang kini hampir 30 tahun berdiri megah. Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan individu yang bertanggungjawab dalam mewujudkan bandar pentadbiran itu semasa menjadi Perdana Menteri ke-4 Malaysia.

Bekas Perdana Menteri itu turut mengucapkan tahniah kepada barisan pegawai yang mentadbir Putrajaya sebagai pusat pentadbiran Malaysia. Akui Dr Mahathir, tiada mana-mana bandar di dunia yang diterokanya dapat menandingi keindahan dan susunan pembangunan di Putrajaya.

Baca Juga Fakta Menarik Lain : Tragedi Tanah Runtuh Menyayat Hati Di Malaysia



Isi Kandungan

Sebelum Menjadi Putrajaya

Sebelum Putrajaya terbentuk, kawasan ini dikenali sebagai Air Hitam dan kemudiannya Prang Besar. Ia merupakan ladang estet getah yang terletak di mukim Kajang, meliputi kawasan seluas 900 ekar di sekitar hutan Ayer Hitam dan Jalan Telok Datoh.

prangbesar 1929

Nama Prang Besar, yang bermaksud “Perang Besar,” diambil sempena Perang Dunia Pertama, di mana tanah tersebut dimiliki oleh tentera British yang pernah menyertai perang tersebut. Ladang ini menjadi saksi sejarah yang penting sebelum berubah menjadi bandar pentadbiran yang kita kenal hari ini.

Proses Pembinaan ‘Bandar Dalam Taman’

Proses pembangunan bermula pada 4 Disember 1993, apabila Jabatan Perancangan Bandar dan Desa membentangkan konsep awal pembangunan. Konsep “Bandar Dalam Taman” telah dipilih, dan pelan induk disetujui pada 22 Februari 1995.

putrajaya
Pembinaan Istana Kehakiman I Kredit Gambar : blog.ppj.gov.my

Pada 10 September 1996, upacara pecah tanah bagi Presint Kerajaan telah dilakukan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Putrajaya dinamakan bersempena Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

putrajaya
Pembinaan Kompleks Seri Perdana I Kredit Gambar : blog.ppj.gov.my

Kos pembangunan bandaraya terancang ini mencapai RM20.5 bilion, menjadikannya salah satu bandar terancang terbesar di Malaysia, dan ia diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 2001.




Fungsi Bandar Terancang

Putrajaya dibangunkan sebagai pusat pemerintahan kerajaan untuk mengurangkan kepadatan di Kuala Lumpur dan sebagai aspirasi kerajaan bagi mewujudkan sebuah bandaraya yang menuju ke arah kecemerlangan negara menjelang abad ke-21.

putrajaya

Pemindahan pusat pentadbiran dari Kuala Lumpur ke Putrajaya menjadikan bandar ini sebuah bandaraya futuristik yang berfungsi sebagai nadi pemerintahan negara, tempat berlangsungnya acara-acara penting dan pusat pengurusan negara.


Transformasi Luar Biasa

Sejarah bandar ini sebagai pusat pentadbiran negara adalah satu contoh transformasi yang luar biasa, dari ladang estet getah yang sunyi menjadi sebuah bandar pentadbiran moden.

Kini, bandar ini bukan sahaja memainkan peranan penting dalam pentadbiran negara, tetapi juga menjadi simbol kebanggaan rakyat Malaysia. Dengan keindahan dan keunikannya, Putrajaya akan terus menjadi mercu tanda penting dalam sejarah dan masa depan negara.

Ikuti Telegram Rasmi kami untuk lebih banyak info terkini : t.me/pakejbantuankerajaan

Leave a Comment