Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melafazkan sumpah laknat di Masjid Kampung Baru, di sini, malam ini, menafikan pembabitannya berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC).
Najib dalam sumpah laknat itu memaklumkan bahawa beliau tidak pernah mengetahui secara khusus atau sebaliknya bahawa dana sebanyak RM42 juta itu, datangnya daripada syarikat SRC secara langsung atau tidak, sehingga kini.
“Kedua, aku tidak pernah menerbitkan atau bersetuju untuk mewujudkan syarikat SRC untuk tujuan merangkumkan apa-apa dana bagi tujuan peribadi atau keluargaku.
Baca Juga
- BKM Fasa 3: Semakan Status & Tarikh Bayaran September 2022
- Permohonan Bantuan Projek Pertanian 2023
- Jawatan Kosong Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tahun 2022
“Ketiga, aku tidak pernah mengarahkan mana-mana anggota pengarah atau mana-mana pegawai SRC untuk menyelewengkan apa-apa dana syarikat SRC ke dalam akaun bank aku untuk apa-apa tujuan.
“Keempat, aku tidak pernah terlibat dalam mesyuarat Kabinet untuk meluluskan jaminan-jaminan kerajaan bagi pinjaman Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) sebanyak RM4 billion kepada syarikat SRC bagi tujuan aku mendapatkan habuan haram sebanyak RM42 juta tersebut,” katanya dalam lafaz sumpah itu.
Terdahulu, Najib bersama anak lelakinya, Nor Ashman Najib tiba di masjid berkenaan 8.20 malam tadi sebelum disertai isterinya Datin Seri Rosmah Mansor kira-kira 20 minit kemudian.
Najib menyertai kariah Masjid Kampung Baru, menunaikan Solat Isyak bersama beberapa pemimpin UMNO termasuk Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
Selepas menunaikan solat Isyak, Ahli Parlimen Pekan itu dan kariah melaksanakan solat hajat dan bacaan doa munajat sebelum Najib melafazkan sumpah laknat berkenaan.
Solat hajat dan bacaan doa munajat itu diadakan bagi merujuk kepada proses rayuan akhir berhubung kes Najib di Mahkamah Persekutuan yang dijadualkan berlangsung pada esok.
Pada 18 Ogos lalu, Najib mengemukakan rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta bagi kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Najib bersalah atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah pada 28 Julai 2020.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali turut menjatuhkan hukuman namun membenarkan permohonan untuk ditangguhkan sementara menunggu rayuan.
Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib dan mengekalkan sabitan ke terhadapnya.
Sumber: Harian Metro