Pasti ramai yang berhasrat untuk memasuki bidang kerjaya perguruan kan?
Maklumlah, bekerja sebagai seorang guru ini dianggap satu kerjaya yang paling banyak cuti dan waktu bekerja harian yang lebih singkat.
Bagi anda yang betul-betul berminat untuk menjadi seorang guru sekolah, ini 12 laluan mudah untuk menjadi seorang guru.
Isi Kandungan
12 Laluan Mudah Untuk Menjadi Seorang Guru
Laluan 1 : SPM – IPG – SK
Ini antara laluan paling mudah bagi menjadi seorang guru. Pelajar lepasan SPM yang mendapat keputusan cemerlang (4/5 A dan ke atas) boleh memohon kemasukan ke Institut Perguruan Malaysia (IPGM) atau lebih dikenali sebagai Maktab Perguruan suatu ketika dahulu.
Pelajar IPGM dilatih selama 1 tahun persediaan dan 4 tahun tambahan bagi program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan. Seterusnya akan berkhidmat sebagai guru di Sekolah Rendah. Malah bagi meningkatkan kualiti pendidikan guru, KPM juga menyediakan laluan khas terus temuduga kepada pelajar lepasan SPM yang mendapat straight A yang berminat untuk menjadi guru.
Laluan 2: SPM – Matrikulasi – Universiti – SMK
Selepas mendapat keputusan yang baik untuk SPM, anda boleh memohon masuk ke Kolej Matrikulasi. Semasa di Kolej Matrikulasi pula, dapatkan keputusan peperiksaan yang bagus untuk memohon universiti yang menawarkan program bagi perguruan.
Baca Juga :
- Panduan Mohon e-Pengeluaran KWSP Tahun 2023
- Cara Mohon Pengeluaran Duit ASB Secara Online Sehingga RM2000 Sebulan
- Pencarum Ada Baki Mencukupi Untuk Pengeluaran KWSP Bersasar
Laluan 3: SPM – STPM – Universiti – SMK
Jika anda mahu menjadi guru sekolah menengah ataupun guru bagi subjek yang diajar di sekolah menengah, seperti Kimia, Fizik, Biologi, Ekonomi, Perdagangan dan lain-lain, maka anda boleh memilih laluan ini. Selepas SPM sambung pengajian ke Tingkatan 6, dan seterusnya sambung belajar di universiti dalam bidang pendidikan.
Laluan 4: STPM – Universiti – SMK
Laluan ini adalah lebih kurang seperti laluan di atas, di mana pelajar Tingkatan 6 yang mendapat keputusan STPM yang cemerlang, kemudiannya sambung belajar program perguruan di universiti.
Laluan 5: Diploma – Universiti – SMK
Selepas SPM, mungkin dah hilang rasa nak belajar di sekolah, maka pergi lah sambung belajar Diploma di mana-mana IPTA yang menawarkan program pendidikan.
Setelah memiliki Diploma, maka bolehlah memohon bagi sambung belajar untuk peringkat Ijazah Sarjana Muda khusus dalam bidang perguruan di universiti yang menawarkan. Tempoh yang akan diambil adalah lebih kurang 4 tahun bergantung kepada universiti.
Laluan 6: Ijazah – DPLI – SMK
Laluan ini adalah bagi mereka yang sudah mempunyai ijazah sarjana muda, tetapi dalam bukan bidang perguruan. Anda boleh cuba memohon kursus DPLI, iaitu Diploma Perguruan Lepasan Ijazah.
Bezanya dengan kursus KPLI yang biasa kita dengar adalah DPLI dilaksanakan di universiti, bukan di IPG seperti KPLI. Dan juga DPLI adalah bagi guru untuk sekolah menengah, manakala KPLI adalah bagi guru untuk sekolah rendah.
Sedikit elaun disediakan bagi mereka yang terpilih bagi mengikuti program ini. Namun ada perjanjian kontrak dengan KPM selama 2 tahun.
Laluan 7: Ijazah – KPLI – SK
Ini adalah laluan perguruan yang paling biasa kita dengar, iaitu KPLI, Kursus Perguruan Lepasan Ijazah. KPLI dilaksanakan di IPG, selama 1 tahun. Walau bagaimanapun, atas faktor bilangan guru dan subjek yang tidak seimbang dan berlebihan, faktor pelajar Ijazah Sarjana Muda Perguruan ISMP yang tidak dapat posting, maka program ini dikurangkan pengambilannya.
Laluan 8: JQAF – SK
Sekiranya anda yang memiliki ijazah dalam bidang pengajian Islam, Bahasa Arab atau yang berkaitan dengannya, anda boleh cuba laluan ini. Mereka yang memohon dan ditawarkan program ini, diberi peluang untuk terus menjadi Guru JQAF di sekolah yang ditetapkan.
Dalam masa yang sama, pada waktu cuti sekolah, mereka harus mengikuti pengajian semasa cuti sekolah selama 2 tahun. Selesai saja program JQAF ini, maka akan ada reposting semula. Bergantung kepada nasib dan kekosongan, tempat posting mungkin boleh jadi sekolah lama, atau pun sekolah baru.
Laluan 9: Ijazah – MRSM
Anda juga boleh cuba nasib untuk menjadi guru MRSM, Maktab Rendah Sains MARA, terutamanya jika anda pernah ada kena mengena dengan MARA. Sama ada bekas pelajar, bekas penerima biasiswa MARA atau apa-apa yang berkaitan dengan pendidikan MARA.
Anda boleh tengok iklan di MRSM tertentu dari masa ke semasa. Ini bergantung kepada kekosongan subjek dan keperluan. Seperti guru lain juga, program perguruan bagi guru sebegini dijalankan semasa cuti sekolah.
Laluan 10: Ijazah – Sekolah Swasta
Dah cuba MRSM dan sekolah lain tapi belum ada rezeki? Anda boleh cuba memohon sebagai guru sekolah swasta dan sekolah antarabangsa. Keperluannya tentulah lebih bersifat memilih pada subjek, kelayakan bakal guru dan juga kelebihan tertentu.
Laluan ini merupakan satu laluan yang baik bagi mereka yang sentiasa inginkan cabaran dalam bekerjaya. Gaji pun tentu lebih lumayan jika dibandingkan dengan guru-guru kerajaan. Risiko menjadi guru di sekolah swasta adalah kontrak tidak akan disambung jika tidak menunjukkan prestasi yang baik.
Laluan 11: Ijazah – Teach for Malaysia – SMK/SK
Anda boleh sertai NGO Teach For Malaysia yang aktif dalam menyediakan guru-guru bagi subjek kritikal di sekolah-sekolah yang sangat memerlukan guru.
Mereka yang memohon bagi mengikuti program Teach For Malaysia ini akan disaring dan diberikan sekolah untuk posting. Semasa hujung minggu mereka perlu menghadiri kursus pemantapan perguruan bersama-sama rakan Teach For Malaysia yang lain. Kontrak adalah selama 2 tahun, seterusnya mereka boleh memilih untuk terus menjadi guru atau berhenti.
Laluan 12: SPM – Matrikulasi – Ijazah
Sekiranya anda memang target nak jadi seorang guru, anda boleh masuk ke Matrikulasi selepas SPM. Tahukah anda matrikulasi adalah seumpama jalan pintas untuk ke Ijazah? Dapatkan keputusan yang cemerlang semasa di Matrikulasi dan masuk ke universiti di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang pengajian pendidikan.
Semoga perkongsian beberapa laluan pilihan untuk menjadi seorang guru ini dapat membantu anda yang berminat menjadi guru mencapai cita-cita yang dihajatkan. Bagi lepasan SPM, buatlah pilihan yang tepat tidak kira ke mana bakal anda melangkah. Pastikan anda buat perancangan sebaiknya sebelum memasuki mana-mana institusi tinggi.
Selamat maju jaya!
Sumber : https://edubestari.com/laluan-kerjaya-guru/
Telegram rasmi : t.me/pakejbantuankerajaan
Khairul, the insightful writer at www.triviamy.com, is dedicated to providing a comprehensive view of job vacancies and current issues in Malaysia. With a passion for keeping readers informed, Khairul’s articles offer valuable insights into employment opportunities and the latest developments in the country.