Mungkin ramai yang tidak tahu, terdapat 17 Pengeluaran Khas KWSP yang dibenarkan untuk pencarum yang layak.
Sebenarnya, KWSP membenarkan pengeluaran penuh atau sebahagian dari simpanan untuk memenuhi keperluan tertentu berhubung kait dengan persaraan selari dengan polisi KWSP sedia ada.
Terdapat 17 jenis pengeluaran sebahagian yang boleh dibuat sebelum pengeluaran penuh pada 55 tahun bagi memudahkan ahli KWSP membuat persediaan bagi menghadapi persaraan yang lebih selesa.
Berikut adalah 17 Pengeluaran Khas KWSP melalui Akaun 1 dan Akaun 2 yang dibenarkan.
Baca Juga :
Isi Kandungan
1. Pengeluaran Umur 50 Tahun
Anda boleh membuat sekali sahaja pengeluaran sebahagian ataupun kesemua simpanan Akaun 2 apabila mencapai umur 50 tahun untuk digunakan sebagai persediaan untuk persaraan anda.
Syarat-syarat:
- Berumur di antara 50 hingga sebelum mencapai umur 55 tahun
- Mempunyai simpanan dalam Akaun 2
- Boleh membuat sekali sahaja pengeluaran sebahagian ataupun kesemua simpanan Akaun 2
2. Pengeluaran Untuk Pendidikan
Ahli KWSP boleh membuat pengeluaran KWSP daripada Akaun 2 bagi membantu membiayai pendidikan sendiri atau anak-anak di institusi dalam dan luar negara yang diluluskan.
Wang yang boleh dikeluarkan adalah berdasarkan jumlah yuran pengajian / baki pinjaman pendidikan ATAU kesemua simpanan dalam Akaun 2 (mengikut mana yang lebih rendah).
Ini termasuklah yuran hostel dan penginapan serta penerbangan sehala untuk pelajar tahun pertama yang belajar di luar kawasan/luar negara
Syarat-syarat:
- Berumur 55 tahun ke bawah
- Mempunyai simpanan dalam Akaun 2
- Masih meneruskan atau telah menamatkan – pengajian peringkat diploma atau setaraf
- Sedang belajar dalam Institusi Dalam Negara (sepenuh masa, separuh masa, program jarak jauh dan francais) ATAU Institusi Luar Negara (sepenuh masa)
- Ahli/ Anak ahli yang berhenti/ gagal/ tidak tamat/ tarik diri dari pengajian dibenarkan
3. Pengeluaran KWSP Untuk Beli Rumah
Ahli KWSP juga boleh membuat pengeluaran Akaun 2 bagi membiayai pembelian rumah sama ada rumah daripada pemaju, individu, atau unit lelongan.
Syarat-syarat:
- Umur bawah 55
- Mempunyai sekurang-kurangnya RM500 dalam Akaun 2
- Membeli rumah kediaman (iaitu jenis banglo / teres /berkembar /apartmen /kondominium /apartmen studio /apartmen servis /townhouse /SOHO atau rumah kedai dengan unit kediaman di Malaysia)
- Pinjaman yang diluluskan dari pemberi pinjaman yang dibenarkan
- Tidak pernah membuat Pengeluaran Perumahan / Telah membuat pengeluaran untuk membeli rumah tetapi telah menjualnya/melupuskan pemilikan
4. Pengeluaran Untuk Bina Rumah
Syarat-syarat;
- Umur bawah 55
- Mempunyai sekurang-kurangnya RM500 dalam Akaun 2
- Ahli/pasangan ahli membeli tanah dan membina sebuah rumah di atas tanah tersebut
- Pinjaman yang diluluskan dari pemberi pinjaman yang dibenarkan ATAU pembiayaan sendiri
- Tidak pernah membuat Pengeluaran Perumahan/ Telah membuat pengeluaran untuk membeli rumah tetapi telah menjualnya/melupuskan pemilikan
- Surat Perjanjian Membina Rumah tidak melebihi tiga (3) tahun dari tarikh permohonan diterima
5. Mengurangkan Atau Menyelesaikan Baki Pinjaman Perumahan
Anda boleh membuat pengeluaran daripada Akaun 2 bagi mengurang/menyelesaikan baki pinjaman perumahan atau memberi bantuan pembiayaan kepada pasangan.
Syarat-syarat:
- Umur bawah 55 tahun
- Mempunyai sekurang-kurangnya RM500 dalam Akaun 2
- Telah membeli/membina rumah kediaman*
- Ahli telah didaftarkan sebagai pemilik rumah tersebut
- Rumah kediaman telah dicaj sebagai cagaran
- Ahli masih mempunyai baki pinjaman perumahan daripada institusi yang dibenarkan
- Permohonan di buat setahun sekali daripada tarikh permohonan yang sebelumnya
- Pinjaman yang diluluskan oleh institusi yang dibenarkan
6. Ansuran Bulanan Pinjaman Perumahan
Dalam usaha untuk meringankan beban pemilik rumah, KWSP telah memperkenalkan Pengeluaran Ansuran Bulanan Pinjaman Perumahan.
Anda boleh membuat pengeluaran KWSP dari Akaun 2 untuk membantu membayar ansuran bulanan sekurang-kurangnya enam bulan atau sehingga masalah kewangan anda selesai.
Syarat-syarat:
- Umur bawah 55 tahun
- Sekurang-kurangnya RM600 di dalam Akaun 2
- Membeli/membina sebuah rumah kediaman
- Masih mempunyai tunggakan pinjaman perumahan dengan pemberi pinjaman yang diiktiraf oleh KWSP
- Ansuran bulanan telah bermula
7. Perumahan Fleksibel
Anda boleh menggunakan simpanan KWSP kini dan masa depan untuk menguatkan lagi had kelayakan bagi mendapatkan pinjaman perumahan dari institusi kewangan.
Apakah Perumahan Fleksibel?
Sebahagian dari simpanan di dalam Akaun 2 akan diketepikan untuk Akaun Pinjaman Perumahan Fleksibel.
Semasa penilaian kelayakan pinjaman dibuat, institusi kewangan akan mengira caruman bulanan KWSP anda sebagai sebahagian dari pendapatan.
Kelayakan pinjaman yang lebih tinggi membolehkan anda membeli rumah idaman
Syarat-syarat:
- Umur bawah 54 tahun
- Membeli/Membina rumah kediaman
- Ada pinjaman perumahan dengan institusi kewangan yang diiktiraf KWSP
8. Perumahan PR1MA
Ahli KWSP di alu-alukan untuk menggunakan simpanan semasa dan juga simpanan kemudian hari demi mendapatkan rumah PR1MA pertama anda.
9. Pengeluaran KWSP Untuk Haji
Ahli beragama Islam yang merancang untuk mengerjakan ibadat haji boleh menggunakan simpanan Akaun 2 sebagai tambahan kepada simpanan di Lembaga Tabung Haji (LTH) sebagai perbelanjaan.
Syarat-syarat:
- Umur bawah 55 tahun
- Dipilih untuk melakukan ibadat haji oleh LTH
- Tidak pernah memohon pengeluaran haji
- Simpanan di LTH tidak mencukupi
10. Pengeluaran Untuk Kesihatan
KWSP membenarkan ahli yang menghadapi masalah kesihatan untuk membuat pengeluaran daripada Akaun 2 bagi membiayai kos perubatan penyakit kritikal dan peralatan bantuan kesihatan yang diluluskan untuk:
- Diri sendiri
- Ibu bapa anda (kandung, angkat, tiri, mentua)
- Pasangan anda
- Adik-beradik anda (kandung)
- Anak-anak (kandung, angkat, tiri)
Syarat-syarat:
- Berumur 55 tahun ke bawah
- Mempunyai simpanan dalam Akaun 2
- Kos perubatan tidak dibiayai sepenuhnya oleh majikan
- Penyakit/ Peralatan bantuan kesihatan yang diluluskan oleh KWSP
- Tidak mendapat rawatan alternatif
TERKINI :
Melalui Bajet 2020 tempoh hari, KWSP juga dijangka akan memperkenalkan kategori pengeluaran baharu kepada pasangan yang menjalani rawatan kesuburan seperti in-vitro fertilisation (IVF).
11. Simpanan Melebihi 1 Juta
KWSP memberi kelonggaran kepada ahli yang mempunyai simpanan lebih dari RM1 juta untuk membuat pengeluaran dan mengurus sendiri lebihan simpanan.
12. Hilang Upaya
Pengeluaran Hilang Upaya membolehkan anda mengeluarkan semua simpanan KWSP jika keadaan keupayaan fizikal atau mental anda terjejas sehingga menghalang anda untuk bekerja.
Bagi ahli yang layak, anda akan menerima RM5,000 sebagai Bantuan Hilang Upaya untuk meringankan beban anda.
Syarat-syarat:
- Bawah umur 55 tahun
- Ada simpanan di dalam KWSP
- Tidak Bekerja
- Disahkan oleh pegawai perubatan, telah hilang upaya fizikal atau mental
- Mesti dinilai oleh Lembaga Perubatan KWSP.
- Temujanji penilaian oleh Lembaga Perubatan KWSP akan ditetapkan ketika penyerahan permohonan di kaunter
13. Pengeluaran Untuk Meninggalkan Negara
Ahli yang telah melepaskan atau melucutkan taraf kewarganegaraan Malaysia untuk berhijrah ke negara lain; atau ekspatriat; penduduk tetap (PR); atau pekerja asing yang kembali ke negara asal, boleh memilih untuk mengeluarkan kesemua simpanannya di KWSP.
14. Meninggal Dunia
Sekiranya anda meninggal dunia, pengeluaran KWSP anda boleh menjadi jaminan kepada orang-orang tersayang dan akan dapat membantu meringankan beban kewangan serta menampung perbelanjaan pengurusan pengebumian.
Oleh itu, pastikan anda membuat penamaan bagi membolehkan waris terdekat anda mengeluarkan simpanan KWSP tanpa sebarang kesulitan.
Ahli keluarga yang di bawah tanggungan anda juga akan dipertimbangkan untuk menerima satu bayaran Bantuan Kematian bagi membantu mereka dalam waktu kesulitan.
15. Pekerja Berpencen / Persaraan Pilihan
Pekerja sektor awam boleh membuat pengeluaran sekali sahaja sebelum umur 55 tahun setelah diberikan taraf Pekerja Berpencen.
Syarat-syarat:
- Umur bawah 55 tahun
- Pekerja dalam sektor awam / Kementerian Pertahanan / Perkhidmatan Tentera dan mencarum dalam KWSP
- Diberi taraf berpencen oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)
*Definisi pekerja berpencen ialah pekerja yang telah diletakan dalam jawatan di bawah mana-mana undang-undang bertulis, yang menjelaskan pengambilan pekerja di dalam perjawatan berpencen oleh Kerajaan Malaysia ataupun Kerajaan Negeri atau badan kuasa berkanun atau tempatan.
16. Pengeluaran KWSP Umur 55 Tahun
Apabila mencapai umur 55 tahun, caruman yang diterima ke dalam Akaun 1 dan Akaun 2 anda akan digabungkan ke dalam Akaun 55.
Anda boleh mengeluarkan kesemua atau sebahagian daripada simpanan daripada akaun ini pada bila-bila masa.
Sekiranya anda memilih untuk terus bekerja selepas umur 55 tahun, caruman yang diterima selepas itu akan dikreditkan ke dalam Akaun Emas yang hanya boleh dikeluarkan apabila anda mencapai umur 60 tahun.
17. Pengeluaran KWSP Umur 60 Tahun
Pengeluaran ini merupakan lanjutan daripada pengeluaran umur 55 tahun, dan ia memenuhi keperluan ahli yang memilih untuk melanjutkan umur persaraan dan sambung bekerja selepas umur 55 tahun.
Pada umur 60 tahun, kesemua simpanan yang terkumpul dalam Akaun 55 (jika ada) dan Akaun Emas akan digabungkan untuk pengeluaran.
Anda boleh memilih untuk membuat pengeluaran secara sekali gus atau sebahagian pada bila-bila masa untuk membiayai persaraan anda.
Cara Mohon 17 Pengeluaran Khas KWSP
Senarai 17 Pengeluaran KWSP boleh dimohon secara manual dengan mengisi borang melalui kaunter, kios atau melalui i-Akaun KWSP.
Anda juga boleh memohon pengeluaran secara online melalui i-Akaun KWSP.
Untuk maklumat lanjut berkaitan proses pengeluaran beserta dokumen yang diperlukan, rujuk maklumat terkini dari laman web KWSP di SINI.
Khairul, the insightful writer at www.triviamy.com, is dedicated to providing a comprehensive view of job vacancies and current issues in Malaysia. With a passion for keeping readers informed, Khairul’s articles offer valuable insights into employment opportunities and the latest developments in the country.